Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Langkah mempercepat peningkatan kadar adunan biodiesel dari paras B10 ke tahap B15, mampu direalisasikan tanpa menjejaskan peroperasian sedia ada dan keperluan membangun infrastruktur baru, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Bagaimanapun beliau berkata, pelaksanaannya masih perlu dilakukan secara progresif atau secara berperingkat-peringkat untuk memastikan operasi sedia ada tidak terganggu dan menjejaskan rantaian bekalan semasa.

“Dari segi infrastruktur adunan, sekiranya kita hendak ke tahap yang lebih tinggi, B20 atau B30, pelaburan dari segi infrastruktur itu perlu dibuat. Jadi untuk sasaran jangka sederhana ini, memang ada keperluan untuk kita naik taraf infrastruktur itu.

“Tetapi bila kita meneliti dari segi peringkat pengoperasian, menunjukkan sekiranya dari segi penyusunan operasi di pusat-pusat adunan ini tanpa membabitkan penaiktarafan infrastruktur, adunan itu boleh dinaikkan daripada B10 ke B15.

“Tetapi benda tu perlu dilakukan secara progresif, maksudnya berperingkat-peringkat, untuk memastikan bila disebut soal operasi, kita tidak boleh mengganggu operasi sedia ada,” katanya katanya ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Program Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) merumuskan untuk mempercepat peningkatan kadar adunan biodiesel daripada paras B10 kepada tahap B15 yang dipacu bermula dengan formulasi B12.

Malaysia ketika ini melaksanakan mandat biodiesel B10 di peringkat nasional bagi sektor pengangkutan, dengan penggunaan B20 sudah dilaksanakan di beberapa kawasan terpilih termasuk Labuan, Langkawi dan sebahagian Sarawak. 

Berdasarkan data industri, pengeluaran biodiesel negara mencecah kira-kira 1.5 bilion liter setahun, namun masih berada di bawah kapasiti maksimum sedia ada, memberi ruang untuk peningkatan adunan tanpa gangguan kepada bekalan domestik.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata kerajaan bersetuju dari segi dasarnya untuk menaikkan B10 ke B15.

Katanya, ketika ini Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang meneliti lebih lanjut soal bagaimana komitmen semua pihak untuk segala rantaian menghasilkan biodiesel. 

“Esok, saya bersama dengan Datuk Seri Noraini Ahmad akan turun ke salah satu fasiliti di Pelabuhan Klang, untuk menilai dan meninjau dari segi kesiapsiagaan fasiliti penghasilan biodiesel di sana,” katanya. 

Akmal Nasrullah berkata komitmen kerajaan ke arah pengunaan B10 ke B15 bertujuan menampung keperluan sektor pengangkutan dan jentera, yang berdepan peningkatan kos operasi ekoran krisis tenaga global. 

“Apabila kita mahu menaikkan dari segi tahap adunan komposisi biodiesel dalam diesel, sekiranya dia melepasi beberapa tahap termasuk ke B20, dia akan masuk kepada isu infrastruktur logistik dan sebagainya. 

“Pembawaan kita pada masa ini adalah untuk tidak mengganggu pengoperasian sedia ada, penerimaan pengguna dan sebagainya. Sebab itu, dari segi komitmen secara meluas untuk sektor pengangkutan jentera dan sebagainya, kita bersetuju untuk B10 ke B15,” katanya.-BH Online