KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memuktamadkan aspek perundangan, sebelum membentangkan cadangan pelaksanaan Skim Pengembara dan elaun bantuan cuti bersalin di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada Kabinet.
Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata mekanisme bagi kedua-dua inisiatif itu, turut sedang diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“Ia akan dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat dan mekanisme bantuan pun sedang diteliti. Saya ingat biarlah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang umum dalam masa terdekat,” katanya selepas mengadakan sesi dialog bersama Kelab Concorde di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Sesi yang dipengerusikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai itu, membincangkan topik Kerja, Gaji dan Masa Depan.
Ramanan sebelum ini memaklumkan Skim Pengembara dijangka memberi perlindungan sosial kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura.
Selain itu, beliau berkata KESUMA juga pada peringkat akhir kajian untuk memperluas perlindungan sosial kepada golongan ibu bersalin, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.
Elaun yang dicadangkan di bawah sistem insurans PERKESO itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 ibu di seluruh negara.– BERNAMA
