KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh berasa selesa walaupun kadar enrolmen pelajar dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat pengajian tinggi berada pada tahap tinggi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia susulan sektor semikonduktor dan elektronik negara yang dijangka memerlukan lebih ramai jurutera di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Menerusi ucapan disampaikan Timbalan Pengarah Kanan (Kluster Dasar Sains dan Teknologi) Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan (KPM), Sarina Salim, beliau memaklumkan Pelan Pendidikan Kebangsaan 2026 hingga 2035 digubal bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara berasaskan STEM.
“Sembilan daripada 10 pekerjaan baharu utama di Malaysia yang dijangka di peringkat global bagi 2025 adalah berasaskan STEM.
“Ketika ini kira-kira 43.5 peratus pelajar universiti di negara ini mengikuti pengajian dalam bidang STEM, antara kadar tertinggi di rantau Asia-Pasifik. Namun, kita tidak boleh leka,” katanya.
null
Tambahnya, industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik yang sedang berkembang pesat dijangka memerlukan tambahan 60,000 jurutera bagi mengekalkan pertumbuhan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Beliau berkata, nisbah jurutera kepada populasi ketika ini ialah 1:170, berbanding 1:100 di negara maju seperti Jerman, sekali gus menjadikan usaha merapatkan jurang itu sebagai keperluan ekonomi, bukan lagi pilihan.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM84.6 juta bagi inisiatif ‘Digital First’, manakala RM75 juta disediakan untuk memperkukuh Rangkaian Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MYREN) merangkumi universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.
“Pembiayaan ini menunjukkan kerajaan bukan lagi sekadar membincangkan masa depan pendidikan, tetapi membiayainya,” katanya.
Pada masa sama, katanya walaupun Pelan Pendidikan Kebangsaan 2013 hingga 2025 berjaya mencapai kadar penyertaan hampir menyeluruh di semua peringkat pendidikan, Malaysia perlu bersedia menghadapi perubahan landskap pendidikan melibatkan kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Menurutnya, kadar enrolmen negara kini mencatat 98.2 peratus di peringkat rendah, 95 peratus di peringkat menengah rendah dan 88 peratus di peringkat menengah atas.
“Kita perlu membina di atas asas itu, bukan berpuas hati dengannya. Pendidikan adalah tentang membina insan yang mampu menyumbang kepada negara,” katanya.
Sementara itu, Canselor Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti MAHSA, Tun Zaki Azmi, berkata pendidikan AI perlu bermula daripada asas dengan penekanan kepada kefahaman kukuh sebelum ke tahap lebih tinggi.
Beliau turut menegaskan keperluan pelajar untuk berfikir secara kritikal dan mencabar idea, selain guru perlu melangkaui silibus pengajaran.
“Guru mesti tahu lebih daripada apa yang mereka ajar. Pengajaran juga bukan satu hala, tetapi dua hala.
“Semakin anda dicabar, semakin anda berfikir dan idea akan muncul,” kata Tun Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Negara.-BH Online
