KUALA LUMPUR: “Saya Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Isu itu kena tanya Peguam Negara.”
Itu jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini menjadi milik Indonesia.
Azalina menjelaskan bahawa isu berkenaan adalah bawah bidang kuasa Peguam Negara.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Bil 3 Tahun 2026 di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Staf Presiden (KSP) Indonesia, M Qodari, memaklumkan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia, kini sah menjadi milik Indonesia.
Qodari dipetik berkata, perubahan itu adalah hasil diplomasi berhubung penyelesaian sempadan darat antara Indonesia dengan Malaysia.-BH Online
