Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan (DOSM) untuk menilai kesan konflik di Asia Barat dan krisis tenaga ekoran penutupan Selat Hormuz, terhadap industri pembinaan negara. 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata perkongsian data dan statistik oleh DOSM dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) penting untuk mengetahui peratusan sebenar kesan krisis berkenaan kepada kenaikan harga bahan binaan. 

Beliau berkata, impak kenaikan kos bahan api berbeza mengikut jenis projek dengan pembinaan serta penyenggaraan jalan raya yang dilaporkan menerima kesan besar berbanding projek bangunan.

“Cuma mereka yang membina jalan raya, kontraktor melaporkan pada saya bahawa kenaikan diesel sangat membebankan mereka kerana segala kenderaan dan jentera yang digunakan untuk membina dan menyenggara jalan raya menggunakan minyak diesel. 

“Sebaliknya, bagi projek pembinaan bangunan, kesan kenaikan diesel adalah lebih terhad kerana penggunaan bahan api itu tidak begitu tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kenaikan kos dalam sektor pembinaan tidak semestinya berpunca daripada konflik semasa, sebaliknya turut dipengaruhi faktor rantaian bekalan sedia ada yang telah memberi kesan kepada harga sebelum ini.

Sementara itu, Ahmad berkata hanya empat peratus daripada 855 projek bawah seliaan JKR di seluruh negara kini diklasifikasikan sebagai ‘projek sakit’. 

Beliau berkata, antara punca termasuk kelemahan pengurusan projek dan kewangan. 

Mengulas mengenai kelewatan projek pembinaan Pusat Aktiviti Setia Perdana yang terletak bersebelahan dengan Puspanitapuri, di sini, Ahmad berkata, isu kelewatan dan status kontraktor bagi projek berkenaan akan diketahui dalam mesyuarat Panel Penyelarasan Kontrak (CCP) pada 21 April ini.

Beliau berkata, projek dengan kos asal sejumlah RM19. 7 juta itu sepatutnya disiapkan pada Julai 2024 namun kini sudah lewat hampir dua tahun dengan status pembangunan semasa sebanyak 75 peratus. 

Katanya, kontraktor berkenaan, yang sudah enam kali diberikan lanjutan masa, berkemungkinan ditamatkan selepas mesyuarat CCP itu. 

Ahmad berkata, kementerian tidak menggalakkan pemberian lanjutan masa berulang kerana ia mencerminkan masalah pelaksanaan serta berpotensi meningkatkan kos projek.

“Setiap lanjutan masa akan memberi implikasi kos. Jika kontrak ditamatkan, kerajaan perlu melantik kontraktor penyiap melalui tender baharu yang juga melibatkan kos tambahan serta tempoh masa dua hingga tiga bulan,” katanya.-BH Online