KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan projek rakyat akan terus dilaksanakan meskipun berdepan cabaran kos dan gangguan rantaian bekalan global ketika ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata untuk itu tumpuan akan diberikan kepada projek pembinaan yang terjejas, khususnya membabitkan kontraktor yang berdepan tekanan.
Beliau berkata, kerajaan akan meneliti setiap projek bermasalah dan mengambil pendekatan bersasar bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan.
“Kita memang tumpu kepada mereka yang bermasalah, khususnya kontraktor apabila projek terjejas. Apa sahaja yang boleh dibantu, kita akan bantu,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR), di sini hari ini.
Semalam, KKR dilapor menjangka lebih banyak projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara berdepan kelewatan disebabkan peningkatan harga bahan binaan serta kos diesel susulan krisis geopolitik Asia Barat.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dilapor berkata krisis berlarutan itu diakui memberi tekanan kepada pelbagai sektor termasuk pembinaan.
Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata cabaran dihadapi industri pembinaan ketika ini berpunca faktor luar kawalan termasuk ketegangan geopolitik global yang memberi kesan kepada harga minyak serta kos bahan binaan.
“Dalam industri pembangunan, memang kerja-kerja terganggu dari segi kos dan pelaksanaan. Namun setakat ini, kita masih mampu bertahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua agensi di bawah KKR termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) menyesuaikan pendekatan pelaksanaan projek agar lebih fleksibel dan responsif terhadap keadaan semasa.
Katanya, antara langkah dipertimbangkan termasuk mengecilkan skop projek tertentu, khususnya bagi projek yang belum dimulakan.
“Misalnya jika kos asal satu kilometer jalan mencecah RM1 juta, kita mungkin pendekkan jaraknya bergantung kesesuaian. Di mana yang boleh kita bantu, kita bantu,” katanya.
Beliau berkata kementerian turut memberi perhatian kepada projek berskala kecil melibatkan kontraktor G1 hingga G4, terutama dalam kerja penyenggaraan dan baik pulih jalan, bagi memastikan kelangsungan operasi pemain industri.
Katanya, pelbagai kaedah sedang dilaksanakan bagi memastikan projek tidak terhenti sepenuhnya, dengan ketika ini sebanyak 855 projek di bawah KKR sedang berjalan di seluruh negara.
“Kita harap dengan pendekatan dilaksanakan, tiada projek terpaksa dihentikan sepenuhnya,” katanya.-BH Online
