Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dalam suasana ketidaktentuan global masa kini, keselamatan tenaga bukan lagi satu pilihan sebaliknya menjadi keutamaan strategik negara yang perlu diperkukuh secara menyeluruh. 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata landskap tenaga global kini semakin kompleks dengan pelbagai risiko termasuk ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata, perkembangan seperti gangguan di Selat Hormuz telah memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global serta mencetuskan turun naik harga minyak.

“Keadaan ini memberi impak langsung kepada kos elektrik, kos operasi perniagaan serta ekonomi keseluruhan, sekali gus menuntut pendekatan lebih strategik dalam pengurusan tenaga negara.

“Dalam keadaan seperti ini, keselamatan tenaga bukan lagi satu pilihan, sebaliknya ia merupakan keutamaan strategik negara. 

“Oleh itu, kita mesti terus memperkukuh kedudukan dengan membangunkan sumber tenaga domestik yang stabil dan mampan bagi memastikan daya tahan jangka panjang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyiapan Projek Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) di sini, hari ini. 

Mengulas mengenai projek CGPP berkenaan, Fadillah berkata, Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha peralihan tenaga menerusi penyiapan projek solar Setia Kawan Energy (SKE) dan Selarong Pertama Energy (SPE) sekali gus menyumbang kapasiti gabungan kira-kira 60 megawatt arus ulang alik (MWac) kepada sistem tenaga negara.

Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan di bawah CGPP yang menjadi antara pemacu utama perubahan landskap tenaga negara. 

“Kejayaan pelaksanaan projek ini membuktikan keupayaan Malaysia menterjemah dasar tenaga kepada pembangunan infrastruktur tenaga bersih yang berimpak tinggi. 

“Projek seperti SKE dan SPE menjadi contoh bagaimana rangka kerja dasar mampu menggalakkan penyertaan sektor swasta serta mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui pada skala besar,” katanya.

Menurutnya, dengan penambahan dua ladang solar di bawah CGPP ini yang menyumbang kapasiti gabungan kira-kira 60MWac, Malaysia telah mencapai lebih 12GW kapasiti tenaga boleh diperbaharui terpasang pada 2025.

“Dengan tenaga solar sebagai pemacu utama pertumbuhan, negara sedang bergerak secara progresif ke arah sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) iaitu 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.

“Bekalan tenaga bersih kini menjadi penentu utama dalam keputusan pelaburan dalam ekonomi global masa kini,” katanya.

Tambah beliau lagi, syarikat multinasional, termasuk Micron, serta sektor berpertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, pusat data dan pembuatan maju, semakin dipengaruhi oleh komitmen penyahkarbonan dan keperluan kelestarian.

“Melalui pembekalan tenaga bersih menerusi inisiatif seperti CGPP dan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), Malaysia kini dikenali sebagai destinasi pelaburan hijau utama bagi industri masa hadapan,” katanya.-BH Online