IPOH: Kerajaan akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek berteraskan kepentingan rakyat berbanding projek besar ketika dunia sedang mengalami impak konflik di Asia Barat kini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia berikutan kerajaan perlu menampung pertambahan perbelanjaan RM6 bilion sebulan susulan krisis itu.
“Perang di negara Teluk tetapi kita kena bayar RM6 bilion sebulan. Sebab itu saya katakan jangan minta projek-projek besar sementara ini, tetapi projek buat rakyat seperti baiki tandas sekolah yang rosak, baiki bumbung masjid atau rumah Orang Asli, itu kita boleh pertimbangkan untuk bagi mana yang mampu.
“Namun, projek-projek besar kita terpaksa tangguh. Saya pun katakan menteri-menteri tak payah keluar negara sebab belanja tinggi.
“Dulu dari Kuala Lumpur ke London, RM7,000 tiket penerbangan tetapi sekarang sudah sampai RM20,000,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra MADANI Taman Perpaduan Koperasi, Tambun, di pekarangan Masjid Ar-Rashid, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria.
Terdahulu pada majlis berasingan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Kangsar, Anwar dilaporkan berkata kajian dan penilaian semula perlu dilakukan, antara lain terhadap kadar pertumbuhan Malaysia serta pelaksanaan projek besar negara jika konflik di Asia Barat berlarutan.
Perdana Menteri dipetik berkata, ia kerana masalah krisis tenaga dunia mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia mengambil pendekatan ‘berkawan’ dengan semua.
Beliau menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang mengamalkan dasar bebas atau berkecuali, tidak perlu menunggu persetujuan Amerika Syarikat (AS) bagi menentukan hala tuju dasar sendiri.
“Walaupun negara kita bukan negara besar tetapi kita bersyukur, semua negara Arab dan Teluk terbabit menghubungi kita, termasuk Presiden Iran walaupun beliau memilih beberapa orang saja di dunia ini untuk bercakap.
“Kita kena berkawan dengan semua… kita tak tunggu AS setuju atau tidak… (kerana) Malaysia ini bebas dan merdeka, jadi kita putuskan sendiri dasar kita,” katanya.-BH Online
