JOHOR BAHRU, 4 April – Johor dijangka menarik pelaburan baharu berjumlah sekitar RM700 juta daripada syarikat pembuatan komponen automotif global, GSP Automotive Group Wenzhou.
Ia dijangka mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan menjelang 2030.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaburan itu memberi tumpuan kepada sektor pembuatan berteknologi tinggi serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“GSP merupakan antara peneraju global dalam pembuatan komponen automotif dan kini bergerak ke arah teknologi bateri serta robotik. Ia selaras dengan keperluan industri masa hadapan yang menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi, kompetitif dan bersedia dari segi teknologi,” katanya menerusi hantaran di Facebook berkaitan pertemuan dengan pihak GSP di sini hari ini.
Datuk Onn turut memaklumkan, keutamaan akan diberi kepada anak Johor dalam pengisian peluang pekerjaan, dengan pendekatan pembangunan bakat dilaksana secara menyeluruh dan berstruktur.
Perbincangan turut merangkumi keperluan tenaga kerja, pemudahcaraan proses kelulusan, sokongan automasi serta penyediaan geran industri menerusi IMFC-J, selari inisiatif Johor Super Lane.
Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan memastikan kelancaran pelaburan, malah menekankan impak langsung kepada rakyat melalui penciptaan pekerjaan, peningkatan kemahiran serta mobiliti sosial.-Berita RTM
