Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyiasat lanjut terhadap individu yang ditahan kerana menggunakan kad pengenalan orang lain untuk membeli bahan api bersubsidi di stesen minyak seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Alias, berkata kesalahan itu membabitkan penggunaan tanpa kebenaran atau kecurian kuota bahan api di bawah mekanisme subsidi.

Beliau berkata, perbuatan itu adalah pelanggaran undang-undang serius di bawah peraturan sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terbabit.

“Siasatan akan dijalankan terhadap individu yang ditahan kerana menyalahgunakan atau memiliki MyKad orang lain secara tidak sah bagi mendapatkan petrol dan diesel,” katanya.

Mengikut Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, beliau berkata adalah menjadi kesalahan untuk memiliki atau menyimpan MyKad orang lain tanpa kuasa yang sah.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM20,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Badrul menegaskan hanya pegawai yang diberi kuasa seperti polis dan pegawai JPN dibenarkan memiliki MyKad orang lain dalam keadaan tertentu.

Difahamkan beberapa kes membabitkan pemandu yang didapati memiliki kad pengenalan orang lain ketika membeli bahan api direkodkan, termasuk di Kelantan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan dokumen pengenalan diri dan memberi amaran bahawa penguatkuasaan ketat akan terus dilaksanakan bagi membendung perbuatan itu.

Polis menahan seorang lelaki kerana didakwa menggunakan kad pengenalan milik empat individu untuk membeli lebih 100 liter petrol pada 1 April.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata suspek ditahan ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Tumpat.

Pada 26 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan khas mengumumkan kerajaan akan melaksanakan pelarasan sementara kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April susulan konflik di Asia Barat.

Bagaimanapun, beliau berkata harga petrol RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelarasan itu bersifat sementara sehingga pasaran dan bekalan minyak serta ekonomi global kembali stabil.-BH Online