PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan sedang merangka cadangan untuk pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pemandu bawah pengaruh alkohol membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain dikenakan hukuman penjara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebelum ini, pindaan undang-undang berkaitan telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah.
“Menurut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun.
“Ia serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan. Bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Pada masa sama, Kementerian Pengangkutan turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Amirul Hafiz Omar yang terlibat dalam nahas tragis di Jalan Raya Barat, Klang akibat pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Katanya, kehilangan itu amat menyayat hati dan insiden sebegini bukan sahaja meragut nyawa yang tidak berdosa, malah merupakan satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali.
“MOT memandang serius kejadian ini dan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu
yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah,” katanya.
Anthony berkata, pihaknya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia untuk menyegerakan siasatan kes ini secara menyeluruh agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan.
“Ia seterusnya berharap agar mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat terhadap pesalah sekiranya didapati bersalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
