KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas yang diimport mencukupi setakat ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bekalan mencukupi meskipun negara berhadapan dengan beberapa isu khususnya peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan.
Jaminan itu diberikan selepas beliau mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), hari ini.
“Melalui pengukuhan kerjasama antara kerajaan dan industri, bekalan barang keperluan asas yang diimport adalah mencukupi sungguhpun berhadapan dengan beberapa isu khususnya peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
MRA adalah antara organisasi induk utama kepada pemain dalam sektor peruncitan.
Konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran dilaporkan memberi kesan langsung kepada ekonomi sehingga menyebabkan kos sara hidup kini melonjak di beberapa negara.
Pada masa sama, Armizan berkata, melalui mesyuarat itu, agenda utama yang dibincangkan adalah isu berbangkit terkait konflik Asia Barat khususnya implikasi terhadap keterjaminan bekalan dan kestabilan harga.-BH Online
