Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan kenyataannya terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) dan salah guna peruntukan projek penyelenggaraan jalan.

Dalam kenyataan pembelaan Menteri Dalam Negeri (KDN) yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada minggu lalu, berkata, kenyataannya pada 14 dan 15 Julai lalu itu adalah wajar dan dibuat atas kepentingan awam.

Muhammad Sanusi mendakwa beliau telah mengalami tekanan emosi selain mencemarkan reputasinya sebagai pemimpin politik yang menyifatkan tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan fitnah.

Lantaran itu, Sanusi telah memfailkan satu saman mendakwa kenyataan tersebut memfitnah pada bulan lalu.

Berkenaan kenyataan salah guna dana persekutuan, Saifuddin berkata pemindahan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) kepada dana pembangunan Kedah adalah “tidak teratur mengikut perspektif tadbir urus undang-undang dan kewangan”.

Jelasnya, peruntukan Marris adalah untuk menyelenggara jalan-jalan negeri.

“Kerajaan negeri perlu mengutamakan tadbir urus kewangan yang teratur untuk meningkatkan ekonomi dan kebaikan kepentingan awam.

“Ini termasuk tanggungjawab fiskal yang lebih berhati-hati untuk memastikan dana awam seperti peruntukan Marris, digunakan mengikut peraturan kewangan dan tujuan asalnya,” katanya.

Mengenai kenyataan dakwaan kecurian REE, Saifuddin berkata MBI Kedah dikenakan notis kompaun RM500,000 mengikut Kanun Tanah Negara pada Oktober tahun lalu.

“Defendan (Saifuddin) mahu plaintif menjelaskan adakah beliau (Sanusi) menerima surat surat daripada pengarah pejabat tanah dan galian negeri berkait kejadian kecurian REE di Kampung Chong di Sik,” katanya.

Saifuddin mendakwa terdapat isu berkait tadbir urus dan kebimbangan mengenai amalan salah tadbir dalam pengurusan sumber asli Kedah, terutamanya REE.

Beliau berkata, Sanusi juga tidak mengalami sebarang kesan atas kenyataan itu, dan atas faktor itu tidak layak mendapat ganti rugi.

“Ini terbukti apabila Sanusi berjaya mengekalkan kerusi DUN Jeneri pada PRN Kedah dengan majoriti lebih 16,000 undi, dan juga mengangkat sumpah sekali lagi sebagai menteri besar serta kekal sebagai pengerusi di MBI Kedah,” katanya. -Media Perpaduan