Sorting by

×

SKIM Perubatan Madani telah diperluaskan ke seluruh negara mulai 15 September lalu, kata Dr Zaliha Mustafa.

Menteri Kesihatan (KKM) itu berkata, sejak mula diperkenalkan tiga bulan lalu, lebih 130,000 rawatan pesakit luar diberikan menerusi lebih 1,300 klinik swasta yang terlibat dalam skim itu.

Jelasnya, KKM telah meningkatkan akses kepada penjagaan rawatan pesakit luar ringan bagi golongan berpendapatan rendah di setiap negeri berbanding beberapa negeri terpilih sebelum ini.

Beliau berkata, golongan B40 yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di seluruh negara boleh mendapatkan rawatan pesakit luar ringan secara percuma di klinik swasta berdaftar tanpa perlu membayar sebarang caj.

“Kos rawatan ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan dibayar secara langsung kepada klinik swasta.

“Sejak pelancarannya pada 15 Jun lalu, KKM menerima dan mempertimbangkan input dan cadangan daripada pelbagai pihak berhubung skim ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaliha berkata, KKM akan melaksanakan beberapa penambahbaikan kepada skim berkenaan antaranya peningkatan had fi konsultasi daripada RM30 kepada RM35 dan jumlah had fi konsultasi dan ubat ditingkatkan daripada RM60 ke RM70.

Jelasnya, bilangan jenis ubat yang disenaraikan dalam pakej skim ini akan ditingkatkan daripada 150 kepada 170 jenis dan kadar bayaran yang ditetapkan untuk ubat-ubatan akan disemak kembali agar selaras dengan harga pasaran semasa.

“Penerima STR boleh menyemak kelayakan dan mengenal pasti klinik berdekatan yang terlibat melalui laman sesawang ProtectHealth htpps://protecthealth.com.my/skimperubatanmadani-ms/ .

“Mereka hanya perlu membawa kad pengenalan untuk pengesahan di klinik semasa pendaftaran,” katanya. -Media Perpaduan