KUCHING: Kerajaan telah bersiap siaga dengan pelbagai langkah bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil tatkala konflik di Asia Barat kini semakin meruncing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sudahpun merangka pelan alternatif jika bekalan minyak atau gas tidak dapat disalurkan melalui Selat Hormuz akibat krisis berlarutan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, antara langkah diambil ialah menilai sumber bekalan dari Australia serta negara lain di rantau Asia-Pasifik sebagai alternatif.
“Setakat ini, perancangan itu berjalan dengan baik, dan bekalan tenaga negara masih berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Rakyat anjuran Gabungan Penghulu dan Ketua Masyarakat Parlimen Petra Jaya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kerajaan turut menekankan kepentingan penjimatan tenaga bagi mengelak peningkatan penggunaan tidak perlu.
“Kerajaan sudah mengarahkan semua pejabat kerajaan menetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius bagi mengurangkan penggunaan tenaga.
“Selain itu, kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor yang tidak kritikal, sebagai langkah tambahan penjimatan tenaga,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru rakyat agar lebih berhemah dalam penggunaan elektrik dengan memastikan peralatan yang tidak digunakan, ditutup sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kerajaan juga akan memantau rapat perkembangan harga minyak mentah Brent.
Namun, katanya, kerajaan masih mengekalkan subsidi bagi petrol RON95 melalui program sedia ada walaupun perlu menanggung kos yang tinggi.
Bagi diesel pula, beliau memaklumkan walaupun harga diselaraskan mengikut pasaran, kumpulan bersasar seperti sektor logistik masih menerima subsidi.
“Sabah dan Sarawak masih menikmati subsidi diesel bagi memastikan kestabilan ekonomi serta kos sara hidup rakyat di kedua-dua negeri ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengaku kerajaan sedang berdepan cabaran penyeludupan bahan api berikutan perbezaan harga yang ketara dengan negara jiran.
“Penyeludupan itu merugikan negara dan rakyat, justeru penguatkuasaan perlu dipertingkat bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi,” katanya.
Sementara itu mengulas amaran cuaca panas melampau oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) di beberapa kawasan utara Semenanjung pula, Fadillah berkata, kementerian sentiasa memantau keadaan bekalan air bagi mengelakkan gangguan kepada pengguna.
Beliau menjelaskan peralihan monsun dari timur laut ke barat daya lazimnya menyebabkan cuaca lebih panas dan kering, sekali gus meningkatkan risiko kemarau di beberapa kawasan.
Sehubungan itu, kementeriannya bekerjasama rapat dengan syarikat bekalan air di setiap negeri bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.
Antara langkah kesiapsiagaan diambil ialah penyediaan lori tangki air, penghantaran bekalan secara bergerak, serta pemantauan kolam takungan air secara berterusan.
“Setakat ini, keadaan masih terkawal tetapi rakyat juga digesa menggunakan air secara berhemat bagi memastikan bekalan dapat dikekalkan,” katanya.-BH Online
