KOTA BHARU: Seramai 21,794 klien yang menjalani program rawatan dan pemulihan dalam komuniti seluruh negara telah mencapai status kekal pulih pada tahun lalu.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, berkata kadar itu mencapai 81 peratus daripada 26,852 jumlah keseluruhan klien yang dinilai.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa modul rawatan AADK berada pada landasan yang tepat dan telah melebihi pencapaian dilaporkan oleh Institut Kebangsaan bagi Penyalahgunaan Dadah (NIDA) dengan kadar kepulihan antara 40 hingga 60 peratus,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, pada tahun lalu juga, 1,500 penagih dadah hadir secara sukarela ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) untuk menjalani program rawatan dan pemulihan.
“Kemasukan secara sukarela ini menunjukkan tahap kesedaran yang semakin baik dalam kalangan penagih untuk mendapatkan rawatan tanpa paksaan.
“Ia juga dapat dilihat apabila pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, yang jika mereka hadir secara sukarela, tidak direkodkan sebagai pesalah sebaliknya dilihat sebagai pesakit yang memerlukan rawatan dikuatkuasakan,” katanya.
Beliau berkata, di Kelantan pula, 147 klien sedang mengikuti rawatan dan pemulihan secara sukarela di PUPEN Kota Bharu dan Bachok setakat ini.-BH Online
