KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjawab persoalan mengapa harga minyak di Malaysia turut terkesan walaupun kita negara pengeluar minyak.
Perdana Menteri berkata, jawapannya bukan terletak dalam Malaysia sahaja, tetapi pada perubahan dalam pasaran minyak global.
“Sejak kenaikan harga minyak dunia susulan konflik di Asia Barat, yang dicetuskan oleh serangan rejim Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, ramai yang bertanya mengapa harga minyak di Malaysia turut terkesan sedangkan kita negara pengeluar minyak.
“Sebenarnya, Selat Hormuz, laluan utama minyak dunia terjejas akibat konflik ini. Apabila laluan ini terganggu, bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga melonjak,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, Malaysia turut terkesan kerana hampir 50 peratus bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz.
“Walaupun Malaysia pengeluar minyak, kita sebenarnya mengimport lebih banyak minyak daripada yang dieksport.
“Untuk melindungi rakyat, subsidi kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu,” katanya.
Perdana Menteri menambah, rakyat dan majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran kerana subsidi disalurkan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel.
“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, usaha melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.
Konflik di Asia Barat mencetuskan senario terburuk bagi sistem tenaga global apabila gangguan besar bekalan memaksa pengguna di seluruh dunia menanggung kos lebih tinggi dan pada masa sama mengurangkan penggunaan.
Media sebelum ini melaporkan penutupan Selat Hormuz, laluan sempit di pesisir Iran, menghentikan kira-kira 20 peratus aliran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Pada masa sama, serangan berterusan antara Iran dan Israel turut menyasarkan infrastruktur tenaga di Asia Barat, merosakkan medan gas, loji penapisan minyak dan terminal yang menurut wakil industri akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.
Situasi ini membawa kepada apa yang disifatkan Agensi Tenaga Antarabangsa sebagai gangguan tenaga global terburuk dalam sejarah, mengatasi sekatan minyak Arab pada 1973 yang pernah mencetuskan kekurangan bahan api dan kerosakan ekonomi meluas.
Setakat ini, krisis berkenaan mengeluarkan kira-kira 400 juta tong minyak daripada pasaran, bersamaan kira-kira empat hari bekalan global, sekali gus mendorong kenaikan harga sekitar 50 peratus.
Harga penanda aras minyak global sudah meningkat lebih 50 peratus kepada melebihi AS$110 setong sejak perang bermula. Kesan lebih ketara dilihat pada minyak mentah Asia Barat, sumber utama ekonomi Asia, dengan harga mencecah hampir AS$164 setong.
Kenaikan ini menyebabkan harga bahan api pengangkutan melonjak, menekan pengguna dan perniagaan di seluruh dunia serta mendorong kerajaan mengambil langkah penjimatan.
Thailand, misalnya, mengarahkan penjawat awam menjimatkan tenaga dengan menggantung perjalanan luar negara dan menggalakkan penggunaan tangga berbanding lif, manakala Bangladesh menutup universiti.
Sri Lanka melaksanakan catuan bahan api, China melarang eksport bahan api bertapis, manakala pelan kecemasan tenaga United Kingdom merangkumi pengurangan had laju bagi menjimatkan penggunaan bahan api.
Harga gas asli di Eropah dan Asia turut melonjak selepas serangan balas antara Israel dan Iran menjejaskan kemudahan gas di Teluk. Kos elektrik pengguna juga berpotensi meningkat.
Israel dilaporkan menyerang medan gas South Pars milik Iran, manakala Iran pula menyasarkan kompleks LNG Ras Laffan di Qatar.-BH Online
