Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026 daripada RM223.9 bilion tahun sebelumnya, disokong oleh peningkatan berterusan dalam eksport dan import.

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu dipacu pertumbuhan eksport yang lebih kukuh sebanyak 10.8 peratus kepada RM131.0 bilion, manakala import naik 8.2 peratus kepada RM114.2 bilion.

Selain itu, lebihan dagangan turut mencatat lonjakan 32.5 peratus kepada RM16.7 bilion pada Februari 2026, sekali gus menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-70 berturut-turut sejak Mei 2020.

“Eksport semula, yang merangkumi 20.3 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 24.8 peratus tahun ke tahun kepada RM26.6 bilion.

Sementara itu, eksport domestik yang menyumbang 79.7 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 7.7 peratus kepada RM104.3 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, import telah mencatatkan kenaikan 8.2 peratus kepada RM114.2 bilion, mencerminkan permintaan yang terus mengukuh dalam ekonomi domestik.

Kenaikan didorong oleh aliran masuk lebih tinggi dari China, diikuti Republik Korea, Taiwan, Costa Rica, Vietnam, Switzerland dan Kesatuan Eropah.

Antara barangan yang mencatat peningkatan termasuk elektrik dan elektronik, bijih logam dan serpihan logam, jentera dan peralatan, serta barangan optik dan saintifik.

Dari segi rakan dagang, peningkatan eksport disokong terutamanya oleh pertambahan penghantaran ke Amerika Syarikat, Taiwan, Kesatuan Eropah, Hong Kong, China, Thailand dan Republik Korea.

Pertumbuhan eksport dipacu oleh barangan elektrik dan elektronik, keluaran perkilangan lain, bijih logam dan serpihan logam serta barangan optik dan saintifik.-Berita RTM