JOHOR BAHRU: “Kepada mereka dari Johor yang telah membuat kenyataan untuk kembali kepada UMNO, di peringkat UMNO Johor kita terima dengan baik, namun keputusan muktamad akan dibuat di peringkat Majlis Tertinggi parti. Itu melalui Rumah Bangsa,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau yang juga Menteri Besar, berkata UMNO Johor terbuka dan menyambut baik cadangan membawa masuk semula ahli parti dari negeri ini yang digantung dan dipecat keahlian untuk kembali menyertai parti berkenaan.
Katanya, perkara itu selaras dengan kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru agar ahli yang pernah digantung kembali ke Rumah Bangsa.
“Kita di peringkat negeri Johor menerima baik apa yang telah diminta oleh Presiden mengenai penerimaan melalui Rumah Bangsa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Onn Hafiz berkata, dari segi persiapan menghadapi pilihan raya, pelbagai perkara sedang diambil kira, namun tumpuan utama ketika ini adalah kepada usaha membantu rakyat yang sedang berdepan pelbagai cabaran.
“Dari segi Pilihan Raya Negeri (PRN), persiapan itu kita ambil kiri tetapi pada masa ini kita sedar rakyat sedang berdepan kesukaran dan terdapat pelbagai isu yang perlu diselesaikan.
“Jadi tiada ketetapan bila ia perlu diadakan dan sebagainya. Apa yang penting kita akan terus berjasa dan berkhidmat di peringkat lapangan untuk memastikan isu dan masalah yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan melalui pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Sebelum ini, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, menyatakan kesediaan untuk kembali aktif berjuang dalam parti itu sekiranya penggantungan keahlian beliau ditarik balik pucuk pimpinan.
Ahli Parlimen Sembrong itu menyifatkan kenyataan Presiden parti yang membuka ruang untuk menerima semula ahli digantung, dipecat atau meninggalkan parti tanpa syarat sebagai satu penghargaan yang amat bermakna.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri di peringkat negeri, Onn Hafiz berkata, majlis itu akan diteruskan dalam skala yang lebih kecil.
“Saya melihat bahawa kita mungkin akan adakan tetapi secara kecil-kecilan. Bagaimanapun, secara lazimnya majlis rumah terbuka akan dilaksanakan seperti biasa,” katanya.-BH Online
