KOTA KINABALU: Subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak dijangka melonjak hingga RM4.6 bilion tahun ini susulan ketidaktentuan konflik di Asia Barat serta turun naik harga minyak global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata impak fiskal bagi subsidi diesel secara pukal di kedua-dua negeri itu sudah pun besar, dengan kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion pada 2025.
“Berdasarkan tahap penggunaan yang sama serta harga pasaran semasa, beban subsidi kerajaan diunjurkan meningkat kepada RM4.6 bilion pada 2026,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pada 2025 subsidi pukal diesel yang ditanggung kerajaan bagi Malaysia Timur mencecah RM2 bilion iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak.
Perkasa penguatkuasaan
Mengulas lanjut, Armizan berkata, implikasi tanggungan subsidi kerajaan akan menjadi semakin besar sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibanteras.
Sehubungan itu, Armizan berkata, dengan mengambil kira ketidaktentuan konflik Asia Barat dan harga minyak global, antara langkah intervensi serta-merta diputuskan Kabinet adalah keperluan untuk memperkasa penguatkuasaan merentasi keseluruhan agensi penguatkuasaan berkaitan.
Menurutnya, selain kawasan-kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara, fokus utama adalah negeri Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor subsidi pukal diesel yang masih berkuat kuasa dengan jurang harga subsidi, harga pam dan harga pasaran yang amat besar melebarkan ruang risiko ketirisan dan penyeludupan.
”Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
”Di bawah Akta 122 jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi syarikat,” tegasnya. -BH Online
