PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju meningkatkan stok simpanan beras sehingga tempoh sembilan bulan bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan negara susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata usaha itu sebagai persediaan awal memastikan stok bekalan makanan negara kekal stabil dan terjamin jika konflik di rantau berkenaan berlarutan.
“Kabinet bersetuju supaya stok beras negara ditambah sehingga tempoh sembilan bulan akan datang daripada sekarang.
“Ini sebagai langkah awal bagi memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Sementara itu, Mohamad menyarankan penjawat awam yang memiliki kediaman ‘landed’ seperti rumah teres dan sebagainya, memulakan inisiatif menanam sayuran di kawasan rumah masing-masing.
Katanya, ia sebagai langkah persediaan seperti mana dipraktikkan ketika Kempen Buku Hijau pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak.
“Maka, saya akan mengarahkan pegawai-pegawai yang rumah di atas tanah, bukan rumah flat dan rumah pangsa, sekurang-kurangnya memulakan tanaman yang hasilnya cepat seperti cili, terung dan kucai.
“Kita akan memulakan program itu seperti Kempen Buku Hijau di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, sebab kita tidak tahu bila krisis antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran akan tamat,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap supaya konflik itu dapat diselesaikan segera supaya tidak memberi impak negatif yang tidak diingini.
“Buat masa ini, sambutlah hari raya (Aidilfitri) dengan biasa, insya-Allah makanan semuanya cukup dan terjamin bekalannya,” katanya.-BH Online
