Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 akan disalurkan pada 13 Mac kepada penjawat awam Gred 15 ke bawah, termasuk kakitangan lantikan kontrak. 

Perdana Menteri berkata, pesara kerajaan dan veteran berpencen serta tidak berpencen juga akan menerima BKK sebanyak RM250 pada tarikh sama.

“Bantuan ini dikecualikan daripada cukai pendapatan. 

“Bagaimana kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan takmir?

“70,000 orang semuanya… kita juga salurkan Bantuan Khas Kewangan 2026 Imam pada 13 Mac sebanyak RM500,” katanya pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini. 

Gred 15 mengikut Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Disember 2024 adalah bersamaan dengan Gred 55/56 mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM). 

Pada masa sama, Anwar berkata, Kerajaan pada 4 Mac lalu sudah meluluskan perluasan bantuan subsidi FLYsiswa kepada institusi pengajian tinggi selain Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). 

Beliau berkata, ia termasuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Universiti Separa Kerajaan (Government Linked Universities), Institusi Pengajian Tinggi milik Kerajaan Negeri serta Institut Perladangan dan Komoditi.

Katanya, subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 yang bertujuan mengurangkan beban pelajar bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak itu akan dapat dimanfaatkan lebih 50,000 pelajar bagi 2026 berbanding 44,000 pada tahun lalu. 

Ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan mengumumkan BKK sebanyak RM700 bagi penjawat awam Gred 56 ke bawah dan RM350 bagi pesara dan veteran kerajaan tidak berpencen.

Bagaimanapun, bermula tahun 2024 hingga kini, kerajaan membayar BKK sebanyak RM500 bagi penjawat awam Gred 56/Gred 15 ke bawah manakala bagi pesara dan veteran kerajaan tidak berpencen, mereka menerima bantuan sebanyak RM250.-BH Online