Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING, 8 Mac – Perkembangan pesat teknologi memudahkan pelbagai urusan harian, namun boleh memberi kesan negatif sekiranya tidak digunakan dengan betul, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Fadillah Yusof berkata golongan belia perlu bijak dan bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi dan kemudahan digital.

Menurut beliau, kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan memberi akses kepada pelbagai maklumat, namun pada masa sama boleh mempengaruhi nilai sosial masyarakat jika tidak dikawal dengan baik.

“Kita berdepan dengan cabaran lebih besar sekarang. Zaman kini serba canggih dengan teknologi seperti AI, dengan telefon di tangan, semuanya di hujung jari.

“Pelbagai pengaruh boleh mempengaruhi masyarakat kita yang boleh menjejaskan sosial komuniti, sebab itu kita perlu bekalkan anak-anak kita dengan nilai yang baik, terutama sekali dari segi hati dan sahsiah”, katanya demikian ketika menghadiri program Kem Ihya Ramadan 2026 di Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS), Santubong, di sini.

Program berkenaan disertai pelajar sekolah menengah sekitar Kuching bagi membentuk sahsiah diri serta memupuk nilai kepimpinan dalam kalangan belia.-Berita RTM