KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ketegangan yang berlaku di Asia Barat ketika ini tidak menjejaskan perkhidmatan internet di Malaysia, jelas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurutnya, pihak kerajaan sentiasa memantau sebarang kemungkinan ancaman keselamatan siber yang boleh memberi kesan kepada infrastruktur internet negara.
“Pada waktu ini, keadaan perkhidmatan internet di Malaysia adalah baik, terkawal dan tidak berlaku apa-apa perkara masalah yang besar berdasarkan apa yang dilaporkan oleh pihak NACSA (Agensi Keselamatan Siber Negara).
“.. dan saya tidak melihat pada waktu ini ada kesan seperti yang disebut itu. Tapi masa yang sama, memang bukan hanya pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).
“… tetapi juga agensi-agensi keselamatan negara akan pastikan ruang internet kita sentiasa selamat termasuk dari pencerobohan sama ada pihak-pihak yang mungkin berniat jahat terhadap negara kita”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hantaran tular di platform media sosial yang mempersoalkan sama ada situasi infrastruktur internet negara terkesan akibat tempias pergolakan di Asia Barat.
Jelasnya kepada pemberita, selepas melawat reruai “Kempen Internet Selamat” di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan ruang siber negara termasuk daripada ancaman penggodaman atau anasir asing.-Berita RTM
