KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyempurnakan Majlis Prapelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, di sini, hari ini.
PBAKL 2026 dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dari 29 Mei hingga 7 Jun depan.
Acara perbukuan terbesar kali ke-43 itu mengangkat tema ‘Malaysia Membaca: Merayakan Buku’.
Ia bakal menampilkan skala penganjuran lebih progresif dengan ruang pameran lebih luas membabitkan penyertaan penggiat industri perbukuan tempatan dan antarabangsa.
PBAKL 2026 bakal menyediakan sebanyak 1,210 reruai, dengan Arab Saudi dijemput sebagai Negara Fokus dan bakal memperkenalkan kecemerlangan literasi serta penerbitan mereka, manakala Pahang pula sebagai Negeri Tamu.
Majlis prapelancaran hari ini diadakan serentak dengan Majlis Berbuka Puasa Menteri Pendidikan Bersama Pemain Industri Perbukuan Malaysia yang dihadiri lebih 300 pemain industri buku termasuk penerbit, penulis, pengedar, pencetak serta wakil institusi pendidikan.
Penganjuran majlis itu adalah manifestasi komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara KPM dengan pemegang taruh industri perbukuan.
Acara anjuran bersama Perbadanan Kota Buku (PKB) dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Adibah Omar; Pengarah MBKM, Mohd Khair Ngadiron; dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Sakri Abdullah.
Turut hadir ialah Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen Media Prime Berhad (MPB), Azhari Muhidin.
Sementara menunggu waktu berbuka puasa, majlis diserikan dengan demonstrasi bacaan eBrelle al-Quran oleh qari cacat penglihatan (OKU) yang juga bakal guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur, Adib Iskandar Mohd Zamrie.
Ia turut diisi dengan acara diskusi buku yang menampilkan pendakwah merangkap penulis naskhah keagamaan, Datuk Dr Zahazan Mohamed, serta penulis, Hafizul Faiz.-BH Online
