CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha meningkatkan kesedaran awam dalam membanteras jenayah penipuan dalam talian dijadikan fokus utama.
Selain itu, Perdana Menteri juga mahu tindakan penguatkuasaan ditekankan termasuk pemantapan operasi melalui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata amanat ringkas Perdana Menteri itu disampaikan kepada petugas NSRC sewaktu melawat pusat operasi berkenaan di Aras 17, Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Perdana Menteri mahu penganjuran program kesedaran awam dipergiat dan diperluaskan bagi memastikan rakyat tidak mudah menjadi mangsa penipuan dalam talian.
“Perdana Menteri menekankan tentang peri pentingnya program meningkatkan kesedaran agar kita jangan sampai terlibat (jadi mangsa penipuan) (yang) kadang-kadang didorong oleh sikap tamak ataupun tawaran-tawaran yang dianggap sebagai sangat lumayan hasilnya kalau ikut serta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran pusat operasi NSRC oleh Perdana Menteri, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.-BH Online
