KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan usul supaya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 berkaitan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata jawatankuasa berkenaan akan meneliti RUU itu termasuk mekanisme kebertanggungjawaban Pendakwa Raya dan mencadangkan apa-apa pindaan yang difikirkan perlu.
“Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas akan menyediakan satu penyata mengandungi cadangan pindaan terhadap RUU itu dalam tempoh tiga bulan.
“Jawatankuasa Pilihan Khas boleh sekiranya perlu melanjutkan tempoh berkenaan,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
Usul bagi merujuk RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 ke Jawatankuasa Pilihan Khas itu, kemudiannya diluluskan dengan suara majoriti Ahli Parlimen.
Terdahulu, Azalina membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua, namun tidak diteruskan ke sesi perbahasan. Bacaan kali pertama RUU berkenaan dibentangkan pada 23 Februari lalu.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas itu akan dipengerusikan beliau selain disertai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Jawatankuasa Pilihan Khas boleh menjemput mana-mana pihak seperti Ahli-ahli Parlimen, pakar perundangan dan perlembagaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat dan individu lain untuk hadir dalam persidangan jawatankuasa dari semasa ke masa,” katanya.
Selain Azalina, jawatankuasa itu turut dianggotai wakil kerajaan iaitu Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Syahredzan Johan (PH-Bangi); Adly Zahari (PH-Alor Gajah) serta Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) ; Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu);Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Wakil pembangkang pula terdiri daripada Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu); Datuk Seri Dr Ronald Kiande (PN-Beluran) serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Terdahulu ketika membentang RUU itu bagi bacaan kali kedua, Azalina berkata, penggunaan istilah litigasi dalam RUU berkenaan adalah satu pilihan dasar yang disengajakan bagi memastikan kelayakan Pendakwa Raya tidak dihadkan kepada pengalaman dalam litigasi jenayah semata-mata.
“Fungsi pendakwaan negara pada masa kini merangkumi bidang sangat luas, termasuk jenayah komersial dan kewangan, penggubalan wang haram, kesalahan siber, keselamatan negara, undang-undang kawal selia serta rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sering membabitkan isu tafsiran Perlembagaan dan undang-undang pentadbiran.
“Oleh itu, pengalaman litigasi yang luas termasuk dalam bidang komersial, kewangan, Perlembagaan dan rayuan adalah sama penting dengan kepakaran prosedur jenayah,” katanya.
Menyentuh syarat minimum 10 tahun pengalaman litigasi bagi seorang Pendakwa Raya, beliau berkata, ia bagi memastikan calon dipilih mempunyai keluasan kompetensi dan kematangan profesional untuk memimpin institusi pendakwaan negara dalam landskap perundangan yang semakin kompleks.
“Ia sejajar standard United Kingdom (UK) dan Kanada serta lebih tinggi daripada ambang minimum di Australia. Merujuk soal larangan terhadap Ahli Parlimen memegang jawatan Pendakwa Raya, hal ini jelas sekali dalam Perkara 145(a)(3) (Perlembagaan Persekutuan) yang dicadangkan bagi memastikan pemisahan antara legislatif dan institusi pendakwaan,” katanya.-BH Online
