Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan cubaan menjatuhkan kerajaan yang kini dalam siasatan polis bukan hanya membabitkan pihak luar negara yang bersekongkol dengan warga tempatan, malah pembabitan secara langsung kelompok Zionis terkemuka. 

Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu memberi sedikit lagi masa untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatannya, sebelum maklumat itu dapat dikongsi kepada umum, jika bersesuaian termasuk kepada Ahli Parlimen.

“Dan kalau esok tahu orang yang nak dipertahankan oleh Yang Berhormat Arau itu, itu di antara kelompok Zionis terkemuka. Digunakan dalam program, projek ini dan nanti tunggu… sabar, seminggu atau dua minggu, bila keadaannya terbongkar, boleh diceritakan. 

“Apakah kita pilih nak pertahan? Tak ada orang lain dalam dunia untuk pertahankan kedudukan kita. Selain daripada merujuk kepada tokoh Zionis yang memang jelas menentang Islam dan negara-negara yang mempertahankan Gaza dan apalagi dengan kenyataan kita semalam (mengenai Iran),” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, PDRM memaklumkan sedang menyiasat seorang individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Siasatan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan. 

Mengulas lanjut, Anwar berkata, konspirasi terancang membabitkan penggunaan agensi pelobi asing, jurubank dan agensi media antarabangsa itu bermula sejak Ogos 2024 dan akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. 

“Berdasarkan maklumat yang sampai dan dalam siasatan PDRM kerana dalam laporan, rekod dengan syarikat, badan-badan dan tokoh-tokoh berkenaan itu sudah ada enam kali perjumpaan pada tahun 2025 di dalam dan di luar negara. 

“Kemudian yang mendorong kegiatan ini adalah kerana siasatan rasuah oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang berskala besar. Itu yang menyebabkan mereka terpanggil untuk bertindak menggunakan kekuatan pengaruh luar dan dalam negara. 

“Strategi mereka seperti mana disebut sebahagiannya tadi, dari rekod syarikat antarabangsa berkenaan, yang menyebut umpamanya untuk menghubungi semua media asing dengan strategi mempertikai usaha kerajaan khususnya SPRM. 

“Kemudian menggunakan kekuatan dan ‘contact’ dengan negara-negara luar dengan tujuan beri naratif mempertikai kewibawaan Malaysia dan kerajaan serta mengatur gerakan melalui Parlimen Malaysia. Ini yang membimbangkan kita,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tentunya memandang serius cubaan ini dan jika diizinkan, Jabatan Peguam Negara, agensi penguatkuasaan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN), boleh berkongsi maklumat mengenainya kepada wakil rakyat. 

“Sebaik ada maklumat tambahan dan diizinkan Jabatan Peguam Negara, PDRM dan badan-badan penguatkuasaan, kalau perlu saya boleh memanggil untuk MKN boleh selaraskan satu perjumpaan dengan wakil-wakil kerajaan dan pembangkang. 

“Kerana bagi saya ini tidak terikat dengan parti, tetapi soal keselamatan atau ‘national security’. Kita tahu Malaysia, seperti mana yang Yang Berhormat pembangkang bersama semalam dalam kes seperti kecaman kita terhadap Israel dan Amerika Syarikat (AS), itu satu-satu negara. Saya teliti seluruh liputan media, Malaysia di antara yang paling keras,” katanya.-BH Online