Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

FAIL audio dan kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu, telah berjaya dimuat turun dan diberikan kepada tiga agensi.

Berdasarkan laporan awal nahas Elmina yang boleh diakses di laman sensawan Kementerian Pengangkutan (MoT) hari ini memaklumkan, fail audio dan CVR telah berjaya dipulihkan oleh makmal di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan itu, tiga agensi berkenaan ialah Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) MoT, Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) Singapura dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) AS untuk dianalisis.

Analisis awal rakaman CVR yang dipulihkan memberikan petunjuk kritikal untuk mendedahkan punca kemalangan, dengan tumpuan pada sistem kawalan penerbangan pesawat.

“Keputusan daripada pemeriksaan dan pemeriksaan yang belum selesai bagi bahagian dan komponen pesawat yang berkaitan di makmal NTSB dan OEM adalah perlu untuk menyediakan bukti kerjasama dan konklusif dalam menentukan punca kemalangan,” menurut laporan awal itu.

Untuk rekod, Makmal L3Harris Technologies di St Petersburg, Florida, AS menjalankan pemulihan CVR pada 28 Ogos lalu selepas ia gagal dipulihkan di makmal Singapura.

Sementara itu, laporan awal memaklumkan punca atau faktor kemalangan udara itu akan dimasukkan ke dalam laporan akhir.

Laporan akhir nahas itu dijangka selesai selewat-lewatnya pada Ogos 2024.
Lampiran 13 Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annexe 13) memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan itu untuk melengkapkan dokumen tersebut.

Dalam kejadian 2.50 petang, 17 Ogos lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat terbabit terhempas di Elmina.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi ialah pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan terkorban dalam nahas itu. -Media Perpaduan