Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

USAHA Malaysia mencetak dan mengedar al-Quran merupakan gagasan penting kepada penghayatan Islam selain memartabatkan umat dan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, tindakan Malaysia itu juga sebagai respon terhadap insiden membakar naskah al-Quran di Sweden dengan mengedarkan kitab suci umat Islam ke negara tersebut.

Katanya, ini juga adalah usaha Malaysia menangani Islamophobia di luar negara selain mendidik dan memberi kefahaman tentang Islam serta al-Quran kepada dunia.

“Ini caranya (pengedaran al-Quran) dan saya yakin harus ada peningkatan kefahaman dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam.

“Apa yang berlaku adalah percaturan dan pertembungan bukan berdasar ilmu tetapi kejahilan iaitu clash of ignorance,” ucapnya pada majlis Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri turut melancarkan tiga kontena al-Quran yang akan membekalkan 30,000 naskhah al-Quran dan terjemahan bahasa Inggeris, diiringi dengan terjemahan bahasa Cina ke tiga negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom.

Pada 27 Januari lepas, Anwar mengumumkan Malaysia akan mencetak sebanyak sejuta naskah al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden.

Pada masa sama, Anwar menjelaskan, penerbitan, percetakan al-Quran dan terjemahan yang dilakukan ketika ini memberi mesej bermakna mengenai keupayaan memaknai kitab suci itu supaya diberi petunjuk.

Gagasan Madani katanya turut menekankan dan memperkenalkan elemen penting dalam penghayatan Islam di negara ini.

“Ini saya cuba ungkap dalam Madani, walaupun ia rangkul soal negara, tata kelola, kemampanan ekonomi termasuk ihsan dan amanah tetapi soal nilai akhlak jadi teras tertentu untuk agama khususnya al-Quran,” katanya. – Media Perpaduan