Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semangat ibadah korban bukan sekadar ritual keagamaan, sebaliknya menjadi lambang keimanan, pengorbanan dan tanggungjawab membantu golongan memerlukan.

Menurut Perdana Menteri, penghayatan ibadah korban perlu diterjemahkan melalui usaha menyantuni rakyat terutama fakir miskin, golongan kurang bernasib baik dan mereka yang dibelenggu kesusahan hidup.

“Kalau ada musibah sedikit, kita boleh cuba atasi dengan bijak. Jadi sementara kita ada rezeki, kita gunakan untuk meringankan beban masyarakat sekeliling kita.

“Sebab itu apabila saya mendapat amanah memimpin, saya fikir kita tidak boleh hanya menunggu orang miskin atau golongan orang kurang upaya (OKU) menghantar memo baru kita nak bertindak.

“Semangat pengorbanan tertinggi yang sebenar adalah dengan menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk membantu seramai mungkin golongan ketinggalan, fakir dan miskin,” katanya ketika berucap pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh hari ini.

Pada majlis itu 79 lembu diserahkan kepada 10 masjid serta surau iaitu Masjid Papan Kampung Pertama, Masjid Haji Saad, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sama Gagah, Masjid Pekan Permatang Pauh, Surau Al Ihsaniah Kampung Petani, Masjid Permatang Pasir, Masjid Permatang Batu, Masjid Al Muhajirin Seberang Jaya dan Masjid Sembilang.

Tambah Anwar lagi, ibadah korban mempunyai kaitan rapat dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang menjadi simbol kekuatan akidah serta keyakinan kepada Allah SWT.

Mengambil ibrah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, beliau berkata setiap ujian yang datang menuntut ketakwaan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT.

“Apabila sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapakah yang paling banyak menerima ujian, jawapannya ialah para nabi, kemudian diikuti para sahabat dan tabiin. 

“Kita ini mudah-mudahan termasuk dalam senarai yang mengikut misalan mereka (walaupun) di baris belakang sekali,” katanya.

Menurut beliau, cabaran semasa yang dihadapi hari ini dianggap kecil jika dibandingkan pengorbanan serta ujian besar dilalui para nabi demi menegakkan kebenaran.

“Kalau kita diuji dengan sedikit kesusahan, kemiskinan atau perbezaan pendapat, janganlah diperbesarkan seolah-olah musibah besar menimpa kita,” ujarnya.

Menyentuh isu peruntukan lembu korban yang menjadi bualan, Anwar secara berseloroh menyatakan beliau turut menyalurkan bantuan sama di Parlimen Tambun, namun Permatang Pauh sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya.-BH Online