Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi tidak membincangkan langsung berkaitan pemecatan pemimpin parti itu.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata, isu pemecatan seperti didakwa ahli MKT, Isham Jalil sebelum ini tidak dibincangkan.

“Setakat ini tak ada (perbincangan mengenai pemecatan). Yang dibincang hanya yang ada dalam kenyataan ini sahaja,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MKT di Menara Dato Onn, di ibu negara, malam tadi.

Isham sebelum ini mendakwa beliau bakal dipecat sebagai ahli MKT berikutan mencetuskan kenyataan menongkah arus dengan ketetapan UMNO untuk bekerjasama dengan DAP pada pilihan raya.

Bagaimanapun, Dr Asyraf berkata, Isham tidak menghadiri mesyuarat MKT malam tadi.

Dalam pada itu, Dr Asyraf menegaskan, keputusan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15 pada November tahun lepas bukan keputusan pemimpin tertentu.

Sebaliknya, ianya merupakan ketetapan MKT pada 23 November tahun lalu, sebelum diabsahkan di Perhimpunan Agung Umno 2023 pada 10 Jun yang lalu.

“Jadi, tak timbul apa yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak seolah-olah keputusan kita ini hanya keputusan tertentu, sebab keputusan yang diambil itu adalah keputusan konsensus.

“Saya nak kongsikan ini bahawa pada malam tersebut (23 November) 56 ahli MKT semua setuju. Memang dalam mesyuarat ada dua orang yang mempunyai pandangan berbeza.

“Tetapi, akhirnya semua ambil ketetapan bersama dan selepas itu tidak ada pun timbul isu di luar oleh mana-mana ahli MKT, cuma yang baru-baru ini sahaja ada yang berbincang isu ini,” katanya. -Media Perpaduan