Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 12 Februari– Program Malaysian Indian Skills Initiative (MiSI) 2.0 dijenamakan semula sebagai Vetri MADANI dengan peruntukan berganda, sekali gus memperluas latihan kemahiran dan peluang pekerjaan untuk belia India, khususnya golongan B40.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penjenamaan itu susulan kejayaan pelaksanaan MiSI 2.0 yang menyaksikan peserta menerima tawaran gaji kompetitif antara RM3,000 hingga RM7,500 selepas tamat latihan.

“Buat masa ini, peruntukan yang disediakan melalui Talent Corp ialah RM4 juta.

“Saya beri jaminan peruntukan ini akan digandakan, namun kajian terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti jumlah permintaan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Graduasi MiSI 2.0 yang menyaksikan seramai 300 belia India menamatkan latihan program berkenaan, di sini hari ini.

Dengan pendekatan pelaksanaan yang akan diperkemas, beliau yakin kadar gaji yang ditawarkan kepada peserta dijangka lebih tinggi, bergantung kepada sektor diceburi.

MiSI 2.0 menyediakan latihan kemahiran secara percuma kepada belia India berasaskan pencapaian hasil, dengan jaminan peluang pekerjaan selepas tamat latihan.-Berita RTM