Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271 di Istana Negara, di sini.

Berangkat sama ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah; Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Pahang diwakili Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Selain itu, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri serta Timbalan Premier Sarawak turut hadir pada mesyuarat berkenaan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke pramesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271 di Istana Negara.

Kali terakhir mesyuarat diadakan pada 8 Oktober lalu, dipengerusikan Raja Perlis.-BH Online