KUALA LUMPUR: Sebanyak RM18 juta diperuntukkan kerajaan bagi pelaksanaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada tahun ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau berkata peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 itu adalah bagi pengurusan atlet dan jurulatih, pengurusan pusat latihan, pendedahan latihan dan kejohanan, sains dan perubatan serta khidmat sokongan.
Katanya, peruntukan itu juga meliputi pelaksanaan program melibatkan seramai 16,221 pelatih dan 792 jurulatih melalui rangkaian 79 Akademi Tunas, 63 Pusat Latihan Daerah, 14 Sekolah Sukan Negeri, satu Akademi Zon serta Akademi Mokhtar Dahari.
“Kita sedang cuba memperkasakan sukan bola sepak ini sebaik mungkin supaya kita dapat melahirkan lebih ramai lagi pemain tempatan yang hebat dan boleh mewakili negara.
“Saya harap segala isu (bola sepak) yang berlaku, kita biarkan ia dibicara dengan proses dan lunas undang-undang.
“Yang penting kita jangan luntur semangat untuk memperkasa dan memperkukuh segala program yang ada,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mohammed Taufiq berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih bertanggungjawab terhadap aspek teknikal, kejurulatihan dan prestasi NFDP, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) menyelia aspek pengurusan termasuk kewangan, pendidikan, kebajikan, pelatih, asrama, sajian, fasiliti serta penyelenggaraan.
Mengenai perkembangan sosioekonomi generasi muda, beliau berkata KBS akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran keusahawanan dalam kalangan belia luar bandar pada tahun ini.
Katanya, pendekatan itu dilihat berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan setempat serta mengurangkan kebergantungan kepada peluang pekerjaan di bandar.
“Ini kerana sebelum ini dengan pelaksanaan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) yang sistematik, kita lihat ia telah mendorong penghijrahan golongan belia ke kawasan bandar kerana di sana ada peluang pekerjaan dan pendapatan lebih tinggi,” katanya.– BERNAMA
