KUALA NERUS, 10 Februari – Operasi Pembenihan Awan Monsun Barat Daya akan dilaksanakan di tiga negeri secara berperingkat iaitu Johor, Kedah dan Perak bermula esok.
Ia berikutan terdapat tujuh empangan yang kini berada pada paras amaran ekoran cuaca panas yang berlaku ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tujuh empangan berkenaan masing-masing tiga di Johor dan Kedah, manakala satu di Perak.
Di Johor membabitkan Empangan Upper Layang, Pulai 1 dan Machap. Di Kedah pula Empangan Pedu, Empangan Muda dan Ahning, manakala di Perak melibatkan Empangan Bukit Merah.
Di Johor operasi pembenihan awan akan dilakukan bermula esok dan Khamis, Kedah dan Perak pada 13 dan14 Februari dan operasi akan diulang kembali di Johor pada Ahad 15 Februari.
“Keadaan kini telah mencapai tahap amaran dan kita tidak mahu hanya bertindak apabila ia sudah berada pada tahap kritikal.
“Ketika ini, negara sedang mengalami Monsun Barat Daya, dan Ketua Pengarah NADMA memaklumkan bahawa keadaan awan sekarang adalah sesuai”, katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara NADMA berkata demikian selepas menutup Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pemukiman Syarikat Milikan Agensi KKDW 2026 di Kuala Nerus.-Berita RTM
