TIDAK ada tempoh masa untuk mendapatkan kembali dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana skandal tersebut berlarutan sejak sekian lama, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, Perdana Menteri menegaskan beliau akan melakukan segala yang perlu untuk mendapatkan kembali dana tersebut daripada Goldman Sachs.
“Tetapi saya fikir saya akan menyampaikan jelas kepada Goldman Sachs bahawa kita perlu menamatkan perkara ini.
“Tetapi ia bergantung kepada mereka. Mereka perlu bersedia. Mereka tidak boleh mengelak.
“Anda boleh katakan yang kami tidak stabil dari segi politik yang anda boleh biarkan begitu sahaja dan tidak masuk campur.
“Bukan begitu. Kami tidak akan berhenti di situ, kerana ia bukan wang saya,” katanya ketika sesi khas ‘A Conversation with the Prime of Malaysia”.
Anwar berkata demikian susulan ditanya sejauh mana beliau sanggup berusaha mendapatkan kembali dana itu sekiranya Goldman Sachs tidak memberikan kerjasama.
Sesi khas itu dikendalikan pengacara dan ketua koresponden antarabangsa untuk Asia Tenggara, Bloomberg Haslinda Amin pada Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Milken Institute di Singapura, semalam.
Lantaran itu, Perdana Menteri menegaskan, Goldman Sach tidak boleh bersikap tidak acuh mengenai perkara tersebut.
Jelasnya, kerajaan mahu mengembalikan semula dana itu kepada rakyat bagi tujuan menyediakan keperluan pendidikan, kesihatan awam dan kemudahan asas kepada mereka.
“Sehingga sekarang, Goldman Sachs tidak begitu memberikan kerjasama. Jadi saya akan berada di New York minggu depan, saya akan bertegas. Sekurang-kurangnya mereka perlu berunding apa yang menjadi masalah.
“Ia telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu. Saya ada isu yang perlu dibangkitkan, dan sesetengah isu boleh diselesaikan secara baik.
“Saya fikir ia tidak perlu dipanjangkan. Kami mungkin sebuah negara kecil, tetapi anda tidak boleh memperdayakan kami,” katanya.- Media Perpaduan