KUALA LUMPUR: Malaysia sudah membuat bantahan rasmi terhadap dua undang-undang maritim yang diluluskan Filipina pada 2024, kerana ia menyentuh hal ehwal kedaulatan, hak kedaulatan, bidang kuasa serta kepentingan negara ini.
Dua undang-undang maritim berkenaan ialah Akta Zon Maritim Filipina (Philippine Maritime Zone Act) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (Philippine Archipelagic Sea Lanes Act).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara, selaras prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (KUUL) 1982.
“Malaysia telah membuat bantahan rasmi terhadap kedua-dua Philippine Maritime Zone Act dan Philippine Archipelagic Sea Lanes Act ke atas zon maritim serta fitur maritim yang membabitkan kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979, kerana ia menyentuh hal ehwal kedaulatan, hak kedaulatan, bidang kuasa dan kepentingan Malaysia.
“Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan ini diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
“Rakyat Sabah sudah melaksanakan hak menentukan sendiri atau ‘self-determination’ mengenai status kedudukan Sabah untuk berada dalam Persekutuan Malaysia.
“Laporan Suruhanjaya Cobbold bertarikh 1 Ogos 1962 kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan lebih dua pertiga rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia pada 1963.
“Pada 14 September 1963, Setiausaha Agung PBB (ketika itu) melaporkan kepada Perhimpunan Agung PBB bahawa rakyat Sabah menyokong penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia,” katanya dalam jawapan lisan disiarkan melalui laman sesawang Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Jeffrey Gapari Kitingan (GRS-Keningau) mengenai tindakan kerajaan untuk mempertikai dan menidakkan langkah Kerajaan Filipina meluluskan dua undang-undang maritim yang menuntut dan menganggap sebahagian besar kawasan perairan serta pelantar benua Sabah sebagai wilayah Filipina.
Sebelum ini, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, menandatangani Akta Zon Maritim Filipina serta Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina pada 7 November 2024.
Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina 2024 adalah undang-undang baharu bagi tujuan pentadbiran dan pelaksanaan satu laluan atau ‘archipelagic sea lanes’ oleh Kerajaan Filipina terhadap kapal serta pesawat terbang negara asing,
Pada hari sama, Marcos juga meluluskan Akta Zon Maritim Filipina 2024 yang mengisytiharkan zon maritim negara itu yang didakwa berada dalam bidang kuasa Filipina.
Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan bahawa berdasarkan peruntukan Seksyen 7 Akta Zon Maritim Filipina 2024, seksyen itu merujuk kepada definisi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina yang terdapat dalam Presidential Decree No 1596 dan 1599 tahun 1978.
“Mengikut koordinat yang dinyatakan dalam Presidential Decree No 1596 tahun 1978 itu, didapati kawasan terbabit menceroboh kawasan maritim Malaysia di utara Sabah berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979,” katanya.-BH Online
