KUALA LUMPUR, 7 Februari – Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, pengguna lebuh raya akan menikmati diskaun bayaran tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa selama dua hari.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemudahan itu dilaksanakan sebagai langkah meringankan beban kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersempena perayaan berkenaan serta menjelang awal Ramadan.
Jelasnya, Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet pada Jumaat bersetuju melaksanakan pemberian diskaun tol itu dengan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM19.5 juta bagi pembayaran balik pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya terlibat.
“Pelaksanaan diskaun berkenaan akan bermula 12.01 tengah malam, 14 Februari 2026 (Sabtu) dan berakhir pukul 11.59 malam, 15 Februari 2026 (Ahad).
“Inisiatif itu selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan rakyat merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan, selain memberi manfaat langsung kepada pengguna lebuh raya di seluruh negara.
“Pemberian diskaun tol tersebut melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang, namun tidak melibatkan plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA),” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya lagi, pemilihan tarikh pelaksanaan dibuat bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan utama selain mengoptimumkan pengoperasian serta penyelarasan logistik tambahan di kawasan hentian sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan lebih awal dan memanfaatkan aplikasi MyPLUS-TTA serta TuJu Highway Navigation App LLM bagi mendapatkan cadangan jadual perjalanan yang lebih selamat dan selesa.
Pengguna juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi papan tanda, had laju serta maklumat yang dipaparkan menerusi Variable Message System (VMS), selain berhati-hati ketika menggunakan lorong Smart Lane.
Maklumat trafik semasa dan sebarang insiden lebuh raya boleh diperoleh menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, aplikasi X dan TikTok, talian 800-88-7752, laman sesawang rasmi LLM, paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.
“Kerajaan turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia dan berharap semua pengguna lebuh raya tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat,” katanya lagi menerusi kenyataan tersebut.-Berita RTM
