Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 yang diumumkan semalam disifatkan sangat membanggakan selepas calon di seluruh negara mencatat pencapaian yang positif.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata STAM Tahun 2025 sangat signifikan kerana melibatkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan Enam Dini melalui tempoh pengajian selama tiga tahun.

Beliau berkata pengukuhan kurikulum hasil kerjasama dengan al-Azhar al-Sharif telah menunjukkan hasil apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan pencapaian sebanyak 2.81 mata manakala gred purata bagi calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) turut mencatatkan pencapaian yang baik, iaitu 2.63 mata.

“Sebanyak 61 calon memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang) dalam semua 10 mata pelajaran, termasuk 30 calon daripada sekolah di bawah KPM. Secara keseluruhan, sebanyak 2,816 calon berjaya melepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan STAM.

“Calon telah menunjukkan keupayaan untuk menguasai format baharu bagi empat mata pelajaran utama, iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah serta Insya’ dan Mutalaah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata sebanyak 4,382 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM Tahun 2025 di 135 pusat peperiksaan seluruh negara dengan peratus kehadiran sebanyak 98.7 peratus, dan calon di bawah KPM merekodkan peratus kehadiran yang tinggi sebanyak 99.1 peratus.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, petugas peperiksaan dan pemeriksa yang memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan STAM 2025.

“Buat semua calon, semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus cemerlang pada masa hadapan,” katanya.– BERNAMA