Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA – Kejayaan ekonomi tidak seharusnya diukur berdasarkan angka dan statistik semata-mata, sebaliknya perlu dirasai secara langsung oleh rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesan pertumbuhan ekonomi yang bermakna dapat dilihat melalui kos sara hidup lebih terkawal, peluang pekerjaan semakin baik serta kehidupan harian rakyat kian selesa.

“Kejayaan ekonomi yang sebenar bukan tentang angka dan statistik semata-mata, tetapi yang lebih penting, rakyat boleh rasa kesannya.

“Kos sara hidup yang lebih terkawal, peluang pekerjaan yang lebih baik dan kehidupan harian yang makin selesa. Malaysia kini sedang bergerak ke arah itu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Terdahulu, Saifuddin Nasution berkata, beliau semalam berkesempatan hadir ke Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 yang menghimpunkan pelbagai pemegang taruh dan pakar ekonomi.

Menurut beliau, forum tersebut bertujuan berbincang tentang isu-isu strategik dalam landskap ekonomi negara.

“Langkah demi langkah sedang diambil untuk memastikan pertumbuhan ekonomi benar-benar memberi makna dalam kehidupan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE