Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Semua penerima manfaat program bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dimaklumkan secara terbuka menerusi portal rasmi agensi itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan turut menjelaskan bahawa, penyaluran bantuan pendidikan, termasuk dana pelajar universiti dan pemberian komputer riba, sedang dan telah dilaksanakan secara berfasa.

“Semua penerima manfaat boleh disemak di laman web www.mitra.gov.my. Bagi graduan universiti tahun pertama, dana hampir RM4,000 telah disalurkan secara berfasa.

“Program pemberian laptop juga telah dilaksanakan, dan sebanyak 3,000 laptop baharu sedang diagihkan. Setakat ini, sebanyak RM48.874 juta telah disalurkan, manakala baki dana masih dalam proses penyaluran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salan berhubung dakwaan kegagalan menyeluruh permohonan bantuan MITRA bagi tahun 2025.

Bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa kementerian tidak mempunyai angka terperinci mengikut kawasan Parlimen ketika ini namun akan mengarahkan pegawai berkaitan untuk memberikan jawapan bertulis.

Bantuan kepada pelajar universiti tahun pertama telah disalurkan secara berperingkat, manakala program komputer riba turut dilaksanakan berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’.-Berita RTM