KUALA LUMPUR, 4 Februari – Kementerian Digital memberi tumpuan kepada enam bidang utama bagi mempercepatkan transformasi digital dan memacu agenda digital negara bagi separuh pertama tahun ini (1H 2026).
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, enam bidang berimpak tinggi itu merangkumi sektor kesihatan, pengangkutan, pertanian, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penguatkuasaan serta perkhidmatan kerajaan.
Menurut beliau, tumpuan akan diberikan kepada usaha memperkasa rakyat dalam sektor-sektor berkenaan supaya mereka memahami, mengakses dan mengadaptasi teknologi sedia ada.
“Daripada enam bidang ini, kita akan melihat bagaimana untuk memperkasa masyarakat dalam sektor terlibat supaya mereka benar-benar memahami, mempunyai akses dan mengguna pakai teknologi. Di situlah impak sebenar transformasi digital dapat dilihat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama negara, hari ini.
Gobind turut menegaskan bahawa kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang teknologi baharu agar usaha pendigitalan dapat diterjemahkan kepada kesan nyata dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Inilah sebabnya kami memberi tumpuan kepada enam bidang berimpak ini, bagi memastikan setiap usaha yang dilaksanakan hari ini membawa manfaat bermakna kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Pengiktirafan MD Nexus, di bawah inisiatif MD Location Recognition oleh Kementerian Digital dan diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), bertujuan mengiktiraf premis perniagaan berkualiti tinggi yang menyokong perniagaan digital, perkhidmatan serta inovasi.
Menurut Gobind, pelantikan Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama negara mencerminkan kemajuan ketara dalam usaha mengintegrasikan teknologi ke dalam ekonomi dan kehidupan masyarakat.
Sebagai MD Nexus pertama Malaysia, Gobind berkata Menara Merdeka 118 melambangkan kemajuan ketara dalam usaha mengintegrasikan teknologi ke dalam ekosistem ekonomi dan sosial negara.
“Pelancaran ini juga menjadi petunjuk jelas bahawa agenda pendigitalan nasional kini bergerak daripada peringkat dasar kepada pelaksanaan sebenar,” katanya.-Berita RTM
