KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan setiap dasar atau pendekatan dilaksanakan termasuk proses pendigitalan perkhidmatan khususnya dalam bidang keselamatan tidak akan menjejaskan kepentingan serta masa depan masyarakat termasuk Orang Asli.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata walaupun penggunaan MyDigital ID digunakan bagi mengakses perkhidmatan kerajaan, kaedah manual masih diteruskan bagi memudahkan golongan rentan.
Bagi perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau berkata aplikasi MyBayar PDRM merupakan aplikasi dalam talian diintegrasikan sepenuhnya dengan MyDigital ID bermula 1 Okt lepas, namun warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) serta penduduk luar bandar yang mempunyai kekangan capaian Internet atau kemahiran digital masih boleh membuat bayaran saman dan urusan berkaitan melalui saluran alternatif.
“Bagi kawasan luar bandar dan penempatan Orang Asli, kewujudan Pusat Ekonomi Digital di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut membantu komuniti mengakses perkhidmatan kerajaan melalui kemudahan Internet dan latihan literasi digital.
“MyDigital ID adalah alternatif pengesahan identiti digital yang selamat dan tidak menggantikan sepenuhnya penggunaan MyKad atau dokumen pengenalan diri fizikal. Justeru mereka yang tidak berupaya menggunakan kemudahan digital, kaedah pengesahan secara manual dan bersemuka di kaunter perkhidmatan akan terus dilaksanakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. – BERNAMA
