PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada pukul 10.30 pagi dan disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Beliau yang mengadakan lawatan kerja sehari di Singapura, diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isterinya pada majlis minum petang, lapor Bernama.
Kali pertama lawatan Anwar sebagai Perdana Menteri ke negara itu adalah pada Januari lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berada di Singapura untuk menyertai dua sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute.
Sesi satu jam pertama iaitu A Conversation with the Prime Minister of Malaysia akan dikendalikan oleh pengacara dan ketua koresponden antarabangsa untuk Asia Tenggara, Bloomberg Haslinda Amin.
Kemudian, diikuti dengan sesi 45 minit lagi, Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors dengan Pengerusi Asia Milken Institute, Robin Hu sebagai moderator.
Badan pemikir Milken Institute yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat, adalah badan bukan berasaskan keuntungan dan tidak berpihak, menumpukan kepada mempercepatkan kemajuan untuk kehidupan yang bermakna.- Media Perpaduan