Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR, 14 Januari -Liputan dan akses kepada sistem pembetungan berpusat akan terus diperluas menerusi pembinaan loji rawatan kumbahan berpusat serta rangkaian paip pembetungan awam di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan rakyat menikmati perkhidmatan pembetungan yang lebih moden, cekap dan teratur, sekali gus menyokong kelestarian alam sekitar.

“Pembangunan pembetungan di kawasan bandar berkepadatan tinggi dilaksanakan berasaskan konsep serantau dengan pembinaan loji rawatan kumbahan berpusat berskala sesuai bagi menampung keperluan komuniti yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Alor Setar.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, pendekatan itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada pembinaan loji kecil di kawasan pembangunan baharu.

Usaha berkenaan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Keenam (SDG6) yang menekankan akses kepada air bersih dan sanitasi.

“Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kota Setar merupakan loji terbesar di Kedah dengan kapasiti rawatan sehingga 100,000 penduduk setara (PE).

Kapasiti loji itu boleh ditingkatkan kepada 300,000 PE bagi memenuhi keperluan jangka panjang Majlis Bandaraya Alor Setar,” ujarnya lagi.

Projek bernilai RM238.8 juta itu mula beroperasi secara berperingkat dan menerima kumbahan sejak 9 Ogos tahun lalu.

Antara komponen utama projek ialah rasionalisasi 28 loji rawatan kumbahan sedia ada serta sistem pembetungan di 16 premis kerajaan.

Pembinaan loji berkenaan turut menggunakan pendekatan mesra alam termasuk penggunaan semula efluen, peralatan cekap tenaga dan penjanaan tenaga solar.

Pendekatan itu membantu mengurangkan jejak karbon serta meningkatkan kecekapan operasi loji.

Sehubungan itu, Datuk Seri Fadillah menggesa usaha penyambungan premis kerajaan dan pembangunan baharu ke sistem pembetungan awam diperkukuh bagi memastikan pengurusan kumbahan dilaksanakan secara optimum.-BH Online