Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING – Kerajaan Sarawak akan meluaskan perkhidmatan bas sekolah pintar percuma ke sekolah-sekolah lain, menjadikannya sebagai mod pengangkutan alternatif bagi pelajar ke sekolah.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bas tersebut akan dilengkapi sistem penjejakan, bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap aspek keselamatan anak-anak.

Pada masa sama, katanya ia membolehkan komunikasi dua hala antara pelajar dengan ibu bapa ketika berada di dalam bas sekali gus memastikan tahap keselamatan sentiasa terjamin.

“Selain mengurangkan keperluan ibu bapa menghantar anak ke sekolah, inisiatif ini juga dapat membantu menjimatkan kos perjalanan harian khususnya bagi keluarga yang menggunakan kenderaan persendirian.

“Kos perkhidmatan bas ini akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Perasmian, Program Bas Sekolah Percuma dan Bilik Darjah Pintar di SJK Chung Hua No. 6, di sini hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata perkhidmatan bas tersebut memberi tumpuan kepada kawasan bandar dan selari dengan usaha menjadikan bandar sebagai rendah karbon, di samping menyokong penggunaan pengangkutan awam yang lebih cekap. – KOSMO! ONLINE