Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 4 Disember – Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus merekodkan pencapaian membanggakan apabila berjaya kekal melebihi 96 peratus.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu bukan sahaja mengatasi angka nasional, tetapi merupakan antara yang tertinggi.

“Program Pra-Tahfiz KEMAS melahirkan 52,000 huffaz cilik, manakala TVET MARA dan TVET Teknopreneur telah melahirkan lebih  800,000 pelajar berkemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis Perhimpunan Bulan Disember Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025, di sini.

Menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, pencapaian itu juga membuktikan modul dan latihan TVET KKDW benar-benar menepati keperluan industri, melahirkan tenaga kerja kompeten yang terus diterima pasaran.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut mengumumkan kejayaan 495 pelajar orang asli melanjutkan pengajian ke universiti, angka tertinggi pernah direkodkan bawah pentadbiran kerajaan.

Ia sekali gus, mencerminkan keberkesanan intervensi pendidikan dan sokongan menyeluruh KKDW dalam memastikan komuniti desa dan orang asli terus menikmati akses pendidikan lebih adil serta progresif.-Berita RTM