Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 4 Disember – Kerajaan tidak akan meninggalkan golongan berusia 30 hingga 40 tahun selepas Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602) berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan bahawa pindaan yang menurunkan had umur belia kepada 15 hingga sebelum 30 tahun itu selaras Dasar Belia Malaysia 2015.

Ia bertujuan memperkukuh peranan belia serta memberi ruang kepimpinan lebih besar kepada golongan muda.

“Definasi dan perundangan akta pertubuhan belia dan pembangunan belia pindaan 2019 akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Pindaan ini adalah berdasarkan dasar belia malaysia yg dilancarkan pada tahun 2015 menyatakan had umur belia diselaraskan antara 15 tahun sehingga sebelum mencapai umur 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkenaan bentuk sokongan dan bantuan yang akan diberikan kepada individu yang telah melepasi had umur belia selepas penguatkuasaan Akta A1602 pada 1 Januari 2026.

Menurut Hannah, definisi baharu belia tidak menjejaskan program kerajaan yang masih mengekalkan had umur hingga 40 tahun. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga mengambil maklum kebimbangan terhadap kumpulan 30–40 tahun yang kekal penting dalam pembangunan komuniti.

Bagi memastikan kesinambungan sokongan, KBS telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri bagi penyelarasan bantuan untuk kumpulan 30–40 tahun bagi melaksanakan pemantauan melalui Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara bantuan kerajaan yang diteruskan untuk golongan 30–40 tahun termasuk, pembiayaan perniagaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui TEKUN Nasional (TEKUN), TEKUN Niaga dan TEKUN Mobilepreneur.

Biasiswa dan pembiayaan pendidikan bawah Kementerian Pendidikan manakala Geran Agropreneur Muda bagi umur 30 hingga 45 tahun bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Pada masa sama Hannah menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan kumpulan 30–40 tahun tidak terpinggir selepas penguatkuasaan akta tersebut.-Berita RTM