KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan sindiket penipuan dalam talian selepas menyerbu lapan pusat panggilan dan menahan 57 individu termasuk lima warga tempatan dalam beberapa operasi berasingan di sekitar ibu negara bermula 10 hingga 14 November lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata serbuan dilakukan di beberapa kediaman yang dijadikan pusat operasi itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJ) Kuala Lumpur dengan kerjasama di peringkat daerah dan kontinjen.
“Semua yang ditahan termasuk 52 warga asing itu berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun.
“Mereka adalah pekerja sindiket dan terbabit dalam pelbagai modus operandi termasuk penipuan tawaran kerja tidak wujud serta pelaburan mata wang kripto tidak wujud,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata siasatan awal mendapati sindiket menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat di negara ini dan luar negara.
Menurutnya semua tangkapan dituduh di mahkamah atas kesalahan Seksyen 1208(2) Kanun Keseksaan kerana bersubahat dalam melakukan kegiatan penipuan dalam talian dan Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan berkenaan dokumen perjalanan warga asing.
Beliau berkata polis akan terus mempergiat operasi berkaitan bagi memastikan sindiket penipuan dalam talian dapat dibanteras sepenuhnya.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.-BH Online
